19
Nov
2024

Tahdziran (Peringatan) Salaf Dari Berdebat Dalam Urusan Agama (Bahagian 3)

Tahdziran (Peringatan) Salaf Dari Berdebat Dalam Urusan Agama (Bahagian 3)

• Al-Imam Muhammad bin Husain al-Ajurriy رحمه الله berkata, “Jika anda bertanya, “Jika ada seseorang telah Allah ajarkan ilmu kepadanya lalu datang seseorang kepadanya bertanya tentang masalah agama, mendebat dia dalam masalah tersebut, apakah dia layani untuk menegakkan hujah atasnya serta membantah pemikirannya?”

Kita jawab, “Justeru itulah yang kita dilarang untuknya dan itulah yang kita diingatkan oleh para ulama Islam untuk menjauh darinya.”

Jika ditanyakan, “Maka apa yang seharusnya dilakukan?”

Kita jawab, “Jika yang bertanya kepadamu ingin mencari ilmu, meminta bimbingan kepadamu ke jalan yang haq, bukan untuk berdebat, maka bimbinglah dengan penjelasan yang terbaik dan dengan penuh lemah lembut dengan ilmu Al-Qur’an dan As-Sunnah, serta riwayat para Sahabat dan para imam kaum muslimin. Namun jika dia hanya ingin mendebatmu, maka hal itu yang dilarang oleh para ulama, maka jangan kamu layani. Hati-hati terhadap agamamu sebagaimana telah lalu disebutkan oleh para ulama kaum muslimin jika dirimu jujur mengikuti mereka.”

Jika ditanyakan, “Bererti kita diam saja, kita biarkan mereka berbicara sesuatu yang batil?!”

Kita jawab, “Diammu dan kamu biarkan mereka, tidak kamu layani, hal itu bagi mereka lebih berat daripada kamu mendebat mereka. Dan seperti itulah para ulama Salaf menyebutkan.”

Jika ditanyakan, “Jika suatu ketika keadaan mendesak, memaksaku untuk berdebat dengan mereka, untuk aku tegakkan hujah atas mereka, apakah boleh bagiku berdebat dengan mereka?”

Kita jawab, “Keadaan mendesak dan memaksa hanya ketika bersama imam (pemimpin/pemerintah) yang bermadzhab buruk dan menyeru serta menguji orang akan madzhabnya seperti yang dicontohkan oleh al-Imam Ahmad رحمه الله di zaman beliau. Di mana tiga Khalifah menguji orang, menyeru mereka kepada madzhabnya yang buruk. Maka para ulama merasa perlu untuk membela agama. Mereka inginkan agar umat tahu yang haq dari yang batil. Demikianlah mereka berdebat. Kerana keadaan yang mendesak memaksa mereka, bukan sebagai pilihan (utama). Dan Allah kukuhkan al-haq bersama al-Imam Ahmad bin Hanbal dan yang sejalan dengan beliau dan Allah hinakan Mu’tazilah, Allah permalukan mereka dan umat mengetahui bahawa kebenaran adalah yang dipegang oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan yang sejalan dengan beliau sampai hari kiamat.” (Asy-Syariah 1/145)

• Dari kisah perdebatan al-Imam Ahmad dan tokoh Mu’tazilah iaitu Ibnu Abi Duad di hadapan Khalifah al-Watsiq Billah, kita dapat memahami bahawa berdebat dengan Ahlu Batil hanya diperbolehkan dalam keadaan yang sempit waktunya, yang sangat mendesak, itupun hanya di hadapan pemimpin yang bermadzhab buruk. Ertinya hal itu dijalankan di ruangan yang terbatas dan tidak disaksikan atau didengarkan langsung oleh keumuman kaum muslimin yang awam. Kerana mereka tidak mampu membezakan al-haq dari yang batil. Jika itu disaksikan atau didengarkan langsung oleh keumuman kaum muslimin yang awam, sangat memungkinkan mereka termakan syubhat dan terbawa oleh pemikiran buruk Ahlu Batil, kerana keumuman kaum muslimin yang awam itu tidak memiliki cukup ilmu syariat untuk memisahkan al-haq dari yang batil. Sehingga perdebatan secara terbuka di hadapan khalayak umum sangat berbahaya dan menyalahi ajaran Salaf, para imam dan ulama kaum muslimin.

نسأل الله السلامة في الدين

✍ Al-Ustadz Usamah Mahri حفظه الله

ll مجموعة طريق السلف ll
www.thoriqussalaf.com
http://telegram.me/thoriqussalaf
http://instagram.com/majmuahthoriqussalaf
http://m.youtube.com/@MajmuahThoriqusSalaf